SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG BADRULHISHAM HJ. ABDULLAH

Diharapkan semoga para pengunjung blog mendapat manafaat yang besar dan dapat digunakan dalam kehidupan seharian.



Sabtu, 2 Januari 2010

KEJAYAAN MENGHASILKAN KEGEMBIRAAN


Sebagaimana yang kita ketahui bahawa matlamat seorang pelajar hadir ke sekolah adalah untuk mengejar ilmu. Setelah ilmu didapati, sudah pastilah para pelajar berusaha untuk memastikan bahawa dirinya berada pada tahap tertinggi berbanding dengan rakan-rakan mereka yang lain. Bagaimana caranya?
Sebenarnya untuk menempatkan diri mereka ke tahap tertinggi bukan suatu perkara yang mudah sekiranya tidak berbekalkan semangat, halatuju dan kesungguhan yang mungkin luar biasa.

Pengorbanan adalah asas yang penting dalam mengejar kejayaan. Kesanggupan diri sendiri dalam membuang tabiat buruk dan lapuk yang telah bersarang di jiwa amat diperlukan. Bagaimana hendak mara ke hadapan sekiranya ada penghalang-penghalang yang begitu kental dan kuat.
Sehubungan dengan itu, para pelajar perlu bercinta dengan hati dan perasaannya sendiri. Belailah dan manjakanlah diri dengan keadaan-keadaan yang memberikan ketenangan kepada diri sendiri. Usaplah perasaan dengan nilai-nilai keagamaan, kerohanian dan tatasusila bangsa khususnya bangsa Melayu. Jangan lokek untuk mengeluarkan sedikit wang untuk ketenangan itu.
Bagi memenuhi keadaan seumpama ini, apa yang amat digalakkan ialah mencari dan menilai kemampuan diri sendiri. Seumpama dua buah kenderaan yang akan menghadapi perlumbaan. Sebuah kenderaan kepunyaan penduduk tempatan manakala sebuah lagi datangnya dari jauh. Jadi, kenderaan manakah agaknya yang perlukan latihan tambahan? Sudah pastilah kenderaan yang tidak biasa dengan litar yang disediakan. Maka kenderaan ini perlulah berlatih berulang-ulang kali agar ia akhirnya dapat membiasakan kenderaan itu dengan keadaan sebenar.
Insya Allah, saya pasti perumpamaan ini boleh kita gunakan dalam menilai kemampuan diri masing-masing. Jika kita rasakan kemampuan kita untuk menjadi juara masih kurang, apa salahnya kita mengorbankan sedikit masa untuk membuat latihan lebih banyak daripada rakan-rakan yang lain.
Saya berpendapat tiada ruginya kita berbuat demikian. Berbanding dengan penyesalan yang bakal kita tanggung di kemudian hari kelak. Bayangkan apa yang bakal berlaku dua atau tiga tahun akan datang. Adakah kita akan dapat membahagiakan keluarga kita atau tambah membebankan mereka.
Tiada gunanya penyesalan itu berlaku tanpa adanya usaha yang gigih sebelumnya. Tidak akan ada penyesalan sekiranya kita telah berusaha bersungguh-sungguh dan bersedia menghadapi peperiksaan itu dengan seribu keyakinan.

Tiada ulasan: