SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG BADRULHISHAM HJ. ABDULLAH

Diharapkan semoga para pengunjung blog mendapat manafaat yang besar dan dapat digunakan dalam kehidupan seharian.



Sabtu, 2 Januari 2010

MISTIK TAPI LUCU


Kisah ini berlaku di sebuah perkampungan FELDA di Kota Tinggi di mana aku pernah bertugas di sana. Pada masa itu heboh diperkatakan orang kampung mengenai jelmaan perempuan muda berambut panjang yang selalu menunggu bas pada waktu tengah malam, berhampiran dengan paya terbiar. Aku tinggal serumah dengan beberapa rakan sekerja yang lain dan yang paling kuingat hingga sekarang ialah Razak. Seorang pemuda yang bergaya dan berlagak. Perkara yang paling digemarinya ialah suka bercakap besar.

Razak suka bercakap besar berkaitan dengan jelmaan perempuan muda itu. Kononnya kalau dia jumpa perempuan itu, dia akan tangkap dan jadikan teman hidupnya. Aku dan rakan-rakan yang lain mendengarkan sahaja apa yang keluar dari mulut Razak.

Satu hari, selepas Solat Maghrib kami bercadang untuk ke Masjid bagi mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh ustaz yang diundang khas dari Pejabat Agama Kota Tinggi. Hujan turun mencurah-curah pada masa itu. Razak pula terasa mahu buang air dan meminta kami pergi dahulu dan dia akan menyusul kemudian.

Tanpa banyak cerita, kami pun meninggalkan rumah dengan berjalan kaki ke Masjid yang jaraknya kira-kira setengah kilometer. Walaupun begitu, kami terpaksa melalui paya tersebut dan keadaan gelap menjadikan kami mempercepatkan langkah.

Ceramah telah bermula ketika kami sampai. Kami duduk sebaris bersama-sama orang kampung. Sedang kami khusyuk mendengar ceramah, kami terdengar orang menjerit-jerit di luar masjid dan masa yang sama Razak berlari masuk ke masjid berpeluh-peluh lalu duduk di sebelah aku. Semua mata termasuk penceramah memandang Razak dengan hairan. Aku cuba memastikan kenapa orang berasa hairan melihat Razak.
Setelah aku amat-amati Razak, barulah kusedar Razak duduk bersila dengan kakinya masih bersarung selipar Jepun yang penuh dengan lumpur tanah merah!

Aku bisikkan perkara itu kepada Razak tapi dia buat selamba sahaja. Badannya kulihat masih mengigil dan nafas berbunyi seperti baru menghabiskan larian 100 meter dengan masa kurang 10 saat.

Dengan muka “tempe” aku menanggalkan selipar itu dan menarik Razak ke luar Masjid dan bertanyakan apa yang berlaku. Razak diam tanpa mempedulikan pertanyaanku. Aku duduk di luar Masjid bersama-sama razak sehingga habis ceramah.

Kami berlima pulang lebih awal dari orang kampung kerana malu dengan “tragedi” itu. Sampai separuh jalan, barulah Razak boleh bercakap. Itupun dia syorkan kami ikut jalan pintas balik ke rumah walaupun jalan pintas ini agak jauh dan penuh semak.

Sesampai di rumah, aku tak sabar-sabar bertanyakan perkara yang sama. Razak menceritakan perkara yang berlaku ketika dia melalui paya tersebut ketika hujan lebat.

Razak nampak seorang perempuan sedang berdiri di tempat menunggu bas. Perempuan itu berambut panjang dan minta ditumpangkan payung sebab dia hendak ke kedai berhampiran dengan Masjid. Razak tanpa berfikir panjang bersetuju. Sambil bertanya itu dan ini, Razak cuba juga nak melihat wajah perempuan berambut panjang itu. Kilat pancar memancar dan Razak menantikan kilat yang agak terang untuk mencuri pandang wajah perempuan itu. Tidak disangka-sangka satu panahan cahaya kilat yang menerangi sekitar tempat Razak dan perempuan itu berdiri berlaku dan Razak dapat melihat dengan jelas keadaan perempuan yang tidak mempunyai muka. Tanpa menunggu lagi, Razak menggunakan sepenuh tenaga yang ada berlari pantas menghala ke Masjid sambil menjerit-jerit dan terus meluru masuk tanpa membuka selipar yang masih setia menemani tapak kakinya itu.

Kami yang mendengarkan ceritanya hilang rasa marah dan takut. Timbul perasaan gelihati yang tidak terhingga dan suasana hening sebentar tadi bertukar riuh rendah dengan hilai tawa rakan-rakan yang lain. Sehingga kini peristiwa itu masih terpaku di dalam sanubariku tetapi masih menjadi teka-teki sama ada cerita itu benar-benar berlaku atau hanya mainan perasaan Razak yang ketika itu sedang dalam ketakutan yang amat sangat.

Tiada ulasan: