SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG BADRULHISHAM HJ. ABDULLAH

Diharapkan semoga para pengunjung blog mendapat manafaat yang besar dan dapat digunakan dalam kehidupan seharian.



Jumaat, 1 Januari 2010



KAUNSELING WARGA EMAS

PENGENALAN

Ramai yang memperkatakan tentang penjagaan warga tua atau lebih dikenali sebagai usia emas iaitu bagi mereka yang telah mencapai tahap umur 65 tahun dan ke atas. Di Malaysia sendiri, peratus warga emas telah meningkat dari 3.3 peratus pada tahun 1980 sehingga 7.4 peratus pada tahun 2020 nanti. Peningkatan ini jelas menunjukkan bahawa negara kita perlu mengadakan satu sistem yang lebih komprehensif yang dapat menangani masalah yang timbul terutama dari aspek fizikal dan emosi mereka.

Masyarakat di Malaysia masih lagi mengamalkan keutuhan konsep kekeluargaan dalam kalangan ahlinya. Walaupun begitu, konsep ini telah semakin pudar di telan zaman. Ramai dalam kalangan anak-anak yang tidak sanggup untuk memelihara ibu bapa yang telah tua. Ada kalanya warga emas itu sendiri yang tidak mahu tinggal bersama keluarga dan anak-anak dengan alasan akan menyusahkan mereka. Sebaliknya mereka lebih rela tinggal di rumah penjagaan warga emas.

Yang lebih menyedihkan, ada di antara anak-anak yang sanggup menyisihkan ibu bapa mereka dengan menghantar ke rumah warga emas dengan alasan tiada masa akibat kesibukan bekerja untuk mencari kekayaan. Perlakuan ini akan mendorong kepada perasaan rendah diri dan pengasingan oleh warga emas tersebut. Hasilnya warga emas yang ditempatkan di rumah penjagaan mengalami rasa tertekan dan introvert.

MASALAH-MASALAH AHLI DI RUMAH WARGA EMAS

Masalah utama ialah mereka rasa tersisih, tidak diperlukan dan dipersia-siakan oleh ahli keluarga. Mereka menganggap bahawa jasa yang mereka berikan kepada keluarga dan anak-anak selama ini tidak dihargai. Umumnya mereka ini tiada lagi tempat untuk mengadu, untuk memberi dan menerima kasih-sayang dan tiada handai taulan untuk berbincang.

Warga emas juga lazimnya akan cenderung untuk mengingati zaman lampau mereka sama ada ianya merupakan pengalaman manis atau pahit. Pengkisahan dan pengluahan perasaan terutamanya berkisar tentang ahli keluarga.iaitu kejayaan sesetengah ahli keluarganya, jasa yang telah disumbangkan kepada ahli keluarga serta sebab-sebab pengisihan ahli keluarga terhadap dirinya. Pengkisahan juga akan berkisar mengenai handai taulan yang kini entah di mana atau yang telah meninggal dunia. Ia akan diulang-ulang dan ini menjadikan dirinya semakin sedih, rendah diri, merasa resah, merasa tidak diperlukan oleh sesiapa pun dan akhirnya akan mengasingkan diri dari orang lain.

Selain itu, warga emas selalunya mengalami masalah mengenai kesihatan yang teruk terutama bagi mereka yang disisihkan secara ‘kasar’ oleh keluarga dan anak-anaknya, mereka yang hidup merempat sebelum ini atau mereka yang telah menjalani cara hidup yang kurang baik semasa usia mudanya. Gangguan kesihatan ini akan menghantui diri mereka menjadikan mereka bersikap pasif, gelisah dan kadang kala boleh menimbulkan masalah kepada ahli warga tua yang lain.

JENIS-JENIS KELOMPOK YANG DIJALANKAN DI RUMAH WARGA EMAS DAN

MATLAMATNYA.

Untuk mengatasi atau mengurangkan masalah yang dihadapi oleh warga emas ini, unit bimbingan dan kaunseling umumnya menjalankan tiga jenis kelompok iaitu kelompok bimbingan, kelompok kaunseling dan kelompok sensitiviti. Kesemua kelompok ini dijalankan mengikut keperluan-keperluan berdasarkan masalah yang dihadapi oleh ahli warga emas dengan matlamat tertentu.

Kelompok Bimbingan

Matlamat pertama melibatkan pemberian maklumat. Contohnya maklumat kewangan seperti pencen dan keselamatan sosial serta maklumat perubatan seperti kaedah perubatan dan kesan sampingan daripada sesetengah ubatan yang diambil.

Matlamat kedua ialah bimbingan pengurusan diri. Contohnya membuat jadual harian, merancang aktiviti harian, mempertingkatkan kualiti hidup dan lain-lain.

Matlamat ketiga, kelompok yang dapat membantu warga emas untuk mencapai matlamat baru dalam hidup. Kelompok ini memfokuskan kepada situasi sekarang dan masa hadapan berbanding dengan pengalaman silam ahli. Contohnya mengadakan program datuk dan nenek angkat, berutus surat dengan rakan lama serta merapatkan semula hubungan dengan ahli keluarga.

Kelompok Kaunseling

Kelompok ini memfokuskan kepada isu personal di mana ia dijangka dapat meningkatkan kendiri ahli serta membantu menyelesaikan masalah lampau. Contohnya mengawal perasaan sedih atau marah terhadap layanan dari anak-anak atau ahli keluarga serta mengawal kesedihan ahli kerana merasakan telah gagal mencapai sesuatu dalam hidup.

Kelompok Sensitiviti

Matlamat kelompok ini ialah membantu ahli yang ingin mengembangkan atau mengekalkan kontek sosial. Hal ini terjadi disebabkan hubungan kekeluargaan telah menjadi renggang atau handai taulan telah terputus hubungan atau meninggal dunia. Ini akan mendorong kepada terhapusnya kemahiran berinteraksi, bersosial dan berkomunikasi. Aktiviti kelompok dijangka dapat mewujudkan semula kemahiran tersebut dengan menjalinkan kontek sosial yang baru..

DINAMIKA KELOMPOK

Dalam sesi kelompok warga emas, dinamika kelompok yang sihat jelas dapat dilihat sejak awal sesi iaitu sikap dan interaksi sesama ahli dan di antara ahli dengan kaunselor yang mesra. Hal ini dapat diwujudkan kerana kesemua ahli di rumah warga emas telah menganggap diri mereka sebagai satu keluarga tanpa mengira bangsa dan jantina. Lebih-lebih lagi dalam usia begini mereka telah matang dari segi emosi dan pemikiran.

Di antara ciri-ciri teraputik yang dapat dilihat ialah:

a. Kejelekitan atau semangat kekitaan

Kejelekitan mudah terbentuk di dalam sesi kerana kesemua ahli telah pun mengenali secara rapat di antara satu dengan lain. Di kalangan ahli juga telah wujud sikap saling menghormati, saling mempercayai, mengambil berat dan sentiasa bantu membantu sesama mereka.

b. Kesejagatan

Ciri kesejagatan jelas ditunjukkan di mana kesemua ahli sememangnya telah merasakan dan menerima kenyataan bahawa mereka kini berada di rumah jagaan warga emas akibat disisih oleh anak dan keluarga sama ada secara rela atau paksa. Ciri ini telah ditunjukkan di mana setiap ahli akan saling menceritakan perihal nasib malang mereka dan ianya sentiasa menarik minat ahli-ahli yang lain.

c. Perasaan Altruisme

Di dalam setiap sesi, didapati setiap ahli akan sentiasa ingin berkongsi pengalaman dan pandangan terhadap masalah yang dihadapi bersama. Mereka akan meluahkan perasaan dengan jujur dan penuh emosi mengenai nasib diri mereka serta harapan yang mungkin ada pada masa hadapan.

d. Pencurahan Perasaan

Pencurahan Perasaan oleh setiap ahli di dalam sesi merupakan ciri yang sangat jelas dapat dilihat dan menjadi isu yang sangat difokuskan. Ia akan mengambil masa yang lama kerana setiap ahli akan mencurahkan perasaan sedih, kecewa dan marah terhadap anak-anak dan keluarga. Melalui pencurahan perasaan ahli juga akan berharap supaya ahli lain dan kaunselor sekurang-kurangnya akan mendengar rintihan hati mereka. Ini bermakna ciri ini akan menjadi satu suasana yang sangat menyentuh perasaan.

PEMBENTUKAN KELOMPOK

Bagi ahli di rumah warga emas, pembentukan kelompok adalah mudah. Ini kerana umumnya kesemua ahli mempunyai ciri-ciri demografi yang hampir sama dari segi umur, latar keluarga, dan masalah yang dihadapi.

Hanya yang mungkin perlu dibuat pengasingan ialah pengelompokan mengikut jantina jika matlamat kelompok menjurus kepada menangani masalah berkaitan seksualiti. Begitu juga pengasingan mungkin perlu jika ianya bertujuan untuk memberi bimbingan keagamaan kepada ahli.

Dari segi perjumpaan, kelompok yang dijalankan di rumah warga emas ini perlu mengambil kira keupayaan tumpuan atau kosentrasi yang boleh diberikan oleh ahli. Bagi ahli yang berumur purata 65 tahun, masa dua jam seminggu untuk setiap sesi boleh dijalankan tetapi bagi ahli yang telah berumur melabihi 65 tahun, jangka masa ini dirasakan terlalu lama di mana kemampuan ahli untuk memberi tumpuan akan menjadi lemah. Oleh itu, jangka masa satu jam seminggu bagi setiap sesi boleh dijalankan.

Dari sudut keahlian pula, ia bergantung kepada jenis kelompok yang akan dijalankan. Bagi kelompok bimbingan jumlah ahli seramai 10 hingga 15 orang adalah sesuai manakala bagi kelompok kaunseling dan kelompok sensitiviti jumlah ahli yang lebih kecil seramai 7 hingga 8 orang dianggap mencukupi. Ini kerana tumpuan yang lebih kepada setiap ahli perlu diberi oleh kaunselor kerana dalam menangani masalah emosi ahli warga emas merasa selesa jika apa yang mereka luahkan akan diberi perhatian sepenuhnya oleh orang lain.

PERANAN KAUNSELOR KELOMPOK WARGA TUA

1. Kaunselor perlu berempati kepada klien.

Sikap berempati perlu ditunjukkan tanpa berbelah bahagi seperti dapat merasakan apa yang dirasai oleh ahli serta dapat membayangkan apa yang telah dialami oleh ahli sebelum ini dan pada masa sekarang. Untuk itu, kaunselor perlu meluangkan masa yang lebih kepada setiap individu ahli untuk mendengar pengluahan perasaan sedih dan kecewanya serta bertanyakan hal-hal yang bersangkutan dengan diri dan situasinya serta sentiasa cuba memberikan harapan yang baik kepadanya.

2. Kaunselor perlu bersikap benar, tidak berpura-pura dan penuh sedar apa yang dilakukan

Kaunselor perlu menunjukkan sikap yang tulus ikhlas yang dia benar-benar ingin membantu ahli. Ini dapat ditunjukkan dengan memberi tumpuan sepenuhnya serta menunjukkan minat yang tinggi dari apa yang diperkatakan oleh klien. Kaunselor juga perlu sentiasa sensitif terhadap emosi yang ditunjukkan oleh ahli, ia turut menunjukkan kesedihan jika ahli bersedih dan bersama-sama gembira semasa ahli menunjukkan kegembiraannya.

3. Kaunselor perlu memberi penghargaan tanpa syarat kepada ahli

Ia perlu menghormati ahli tanpa membezakan nilai-nilai dirinya dengan nilai-nilai yang dipegang oleh ahli. Kaunselor juga jangan menilai ahli sebaliknya ia harus menerima ahli sebagai diri ahli itu sendiri. Ini perlu supaya ahli merasa dirinya diterima dan dihargai.

4. Kaunselor perlu sentiasa menghormati dan menjaga harga diri ahli.

Kaunselor perlu menunjukkan rasa hormat kepada ahli sebagai orang yang lebih tua darinya. Ini dapat ditunjukkan dengan bercakap menggunakan intonasi yang lembut, sentiasa mengukir senyuman dan menggunakan panggilan yang sesuai seperti pak cik dan mak cik atau datuk dan nenek. Kaunselor juga perlu menjaga harga diri ahli dengan tidak mengajukan soalan yang diangap sensitif sebaliknya ia perlu menggunakan bahasa yang berlapik supaya tidak akan mengguris perasaan ahli.

5. Kaunselor perlu mendorong ahli ke arah pembentukan kendiri yang positif

Umumnya ahli warga emas mengalami perasaan rendah diri, merasakan diri tidak berguna dan tidak diperlukan oleh sesiapa. Oleh itu, tugas utama kaunselor ialah menyuntik semangat bagi mendorong ahli meningkatkan pembentukan kendiri supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan penuh kehormatan dan bermartabat iaitu yakin dalam menjalani sisa-sisa kehidupan seperti juga insan lain.

KESIMPULAN

Konsep penjagaan warga emas masih lagi dianggap tidak mempunyai ketentuan di mana masyarakat dan pihak berkuasa seolah-olah beranggapan bahawa penjagaan hanya perlu dilakukan kepada aspek fizikal sahaja tanpa menitikberatkan aspek emosi. Masyarakat dan pihak berkuasa seharusnya perlu lebih peka dengan menyediakan program penjagaan yang lebih sempurna dalam semua aspek baik fizikal, mental, emosi dan spiritual kerana hakikat bahawa manusia walaupun ianya warga tua tidak dapat diketepikan dari semua unsur tersebut. Ini bermakna program penjagaan yang komprehensif dan menyeluruh dengan memasukkan program bimbingan dan kaunseling sama ada individu atau kelompok akan dapat merealisasikan matlamat tersebut

Tiada ulasan: